Monday, February 7, 2011

BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH

Orang yang melahirkan rasa kasih sayang sesama mereka kerana Allah, maka pada hari khiamat kelak Allah akan melindungi mereka dibawah naungan arasy. Pada hari qiamat tiada apapun yang dapat dijadikan tempat berteduh kecuali naungan arasy, bumi ini akan ditukar ganti, tiada gunung yang kekal, begitu juga bukit-bukau, semuanya sama rata,
Begitulah keadaan bumi pada masa itu , rata-seratanya. Tiada pokok, tiada gua. Bumi ini akan digoncangkan dengan kuat, gunung ketika itu menjadi seperti debu beterbangan di udara. Allah taala memindahkan semua manusia pada waktu itu di suatu tempat gelap di tepi titian SIRATULMUSTAQIM. Semua mereka dipindahkan dengan kuasa Allah Taala. Kemudian setelah mana digantikan dengan bumi baru (Ardul Mubaddalah), maka Allah kembalikan mereka semula ke bumi tersebut, maka saat itu, tiada lagi tempat bersembunyi,tiada lagi tempat tinggi, tiada pokok, tiada tempat berteduh. Tidak ada naungan ke atas manusia ketika itu kecuali bergantung kepada amalan mereka. Orang yang Allah taala kehendaki mereka selamat dan mendapat kerehatan daripada kepanasan matahari, mereka ini akan berada di bawah naungan Arasy yang menjadi tempat berteduh mereka. Mereka yang berkasih-sayang di dunia semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah, bukan kerana harta, bukan kerana hawa nafsu dan bukan pula kerana hubungan kekeluargaan bahkan kasih-sayang kerana Allah semata-mata, Allah taala akan selamatkan mereka daripada kepanasan matahari.
Kepanasan matahari yang dikenakan terhadap orang kafir pada saat itu,peluh mereka sahaja sehingga mencapai paras mulut mereka. Mereka hampir-hampir mati tetapi tidak mati,tiada lagi kematian pada hari Kiamat kelak walau sekuat mana azab yang menimpa diri mereka, namun mereka tetap hidup dan sentiasa merasai azab yang amat pedih tanpa diiringi dengan kematian. Di dunia ini,jika manusia dibakar dengan api mereka akan mati, apabila ditikam mereka akan mati, apabila ditembak dengan puluru mereka akan mati, tetapi di akhirat berbeza ceritanya.
Berkasih-sayang kerana Allah, beerti saling bantu-membantu dalam melakukan kebaikan bukan saling membantu dalam melakukan kejahatan atau maksiat. Mereka inilah orang yang akan dilindungi arasy. Ada dikalangan mereka ini, Allah taala tempatkan mereka di atas kerusi daripada cahaya,pakaian mereka cahaya,wajah mereka bercahaya,kerusi mereka bercahaya,mereka ini adalah orang-orang yang terpilih (Al-Khawwas)daripada kalangan hamba Allah yang bertaqwa. Berkasih-sayang kerana Allah, mempunyai kelebihan yang besar di akhirat kelak. Bersikap tulus tanpa sebarang penipuan, antara satu sama lain tidak mengajak sahabatnya melakukan kejahatan atau maksiat,bahkan mencegahnya,orang seperti inilah yang dikatakan berkasih-sayang kerana Allah.
Adapun mereka yang berkasih sayang bagi tujuan maksiat atau sekadar untuk memenuhi kehendak nafsu atau disebabkan harta kekayaan, mereka ini tidak mendapat apa-apa kelebihan daripada kasih sayang yang mereka pupuk, tiada apa yang membahagiakan mereka di akhirat nanti, bahkan mereka yang bekerja sama dalam melakukan maksiat terhadap Allah akan dikenakan azab yang pedih, di akhirat kelak masing-masing akan berjauhan, saling melarikan diri kerana takut dituntut hak atasnya, tapi pada hari itu ke mana hendak lari? Semuanya tidak akan terlepas dari hukuman.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Perbincangan Agama Islam © 2008 Template by:
SkinCorner