Monday, May 18, 2009

peristiwa di hari Qiamat (hari kebangkitan)

Ceritakan tentang hari kebangkitan ?

Hari kebangkitan ialah hari di mana orang-orang yang mati itu akan keluar dari kuburnya selepas dikembalikan jasadnya yang telah dimakan tanah. Jasad yang tidak dimakan tanah ialah jasad nabi-nabi, para syuhada’ dan juga setengah para auliya'..

Firman Allah ta’ala:

"وَأَنَّ السَّاعَةَ ءَاتِيَةٌ لاَّ رَيْبَ فِيْهَا وَأَنَّ الله َيَبْعَثُ مَن فِى الْقُبُورِ"

Maksudnya:"Dan sesungguhnya hari kiamat itu pasti datang, tiada keraguan padanya, dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan semua orang di dalam kubur".(Surah Al-Hajj : Ayat 7)

Apakah yang dikatakan padang mahsyar ?

Padang mahsyar ialah satu tempat yang dihimpunkan mereka yang keluar dari kubur. Manusia di padang mahsyar terdiri dari tiga golongan:

i Golongan pertama ialah mereka yang berpakaian, berkenderaan serta dalam keadaan kenyang, ini adalah keadaan golongan yang bertaqwa.

ii Golongan yang kedua dalam keadaan berkaki ayam dan bertelanjang, mereka adalah golongan Islam yang fasik.

iii Golongan ketiga pula dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan mereka diheret atas muka mereka (menyondol di tanah), golongan ini adalah orang-orang kafir.
Adalah dihimpunkan di padang mahsyar nanti terdiri dari manusia, jin dan binatang-binatang.

Firman Allah Ta’ala:

وَاتَّقُوا اللهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ""

Maksudnya:"Dan bertaqwalah kepada Allah, dan ketahuilah bahawa kamu akan dikumpulkan di padang masyar kepadaNya (Allah)"
( SurahAl-Baqarah Ayat 203)

Firman Allah ta’ala:

وَنَحْشُرُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَى وُجُوهِهِمْ عُمْيًا وَ بُكْمًا وَ صُمًّا""

Maksudnya:"Dan kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat diheret atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan pekak".
( Surah Al-Isra' ayat 97)

Firman Allah:
وَإِذَا الْوُحُوشُ حُشِرَتْ""

Maksudnya: "Dan apabila binatang-binatang dikumpulkan di mahsyar".
( Surah At-Takwir Ayat 5)


Ceritakan tentang hari kiamat?

Hari kiamat bermula ketika manusia dibangkitkan dari kubur hinggalah penghuni-penghuni syurga masuk ke dalam syurga dan penghuni-penghuni neraka masuk ke dalam neraka. Kadar hari kiamat ini adalah lima puluh ribu tahun.

Firman Allah Ta’ala:

فِى يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ""

Maksudnya:" Pada hari (hari kiamat) yang kadarnya lima puluh ribu tahun".
(Surah Al-Ma'arij ayat 4)

Ceritakan tentang hari Hisab ?

Hari hisab ialah hari perhitungan amalan-amalan manusia selepas diberikan kitab mereka masing-masing. Orang mukmin akan mengambil kitabnya dari sebelah kanannya manakala orang kafir pula mengambil kitab mereka dari belakang sebelah kirinya. Kitab ini adalah apa yang ditulis oleh malaikat Roqib dan 'Atid ketika di dunia.

Firman Allah ta’ala:

"فَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ, فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَّسِيرًا, وَيَنقَلِبُ إِلَى أَهْلِهِ مَسْرُورًا, وَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَابَهُ وَرَاءَ ظَهْرِهِ, فَسَوْفَ يَدْعُو ثُبُورًا, وَيَصْلَى سَعِيرًا"

Maksudnya:"Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya maka dia akan dihisab dengan perhintugan yang mudah, dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira. Adapun orang yang diberikan kitabnya dari belakang, maka dia akan berteriak: “celakalah aku”, dan dia akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-menyala".(Surah Al-Insyiqaq ayat 7-12)


Apakah yang dimaksudkan dengan pahala dan dosa ?

Pahala adalah ganjaran yang baik bagi orang mukmin pada hari kiamat, manakala dosa pula adalah balasan yang buruk terhadap hambanya-hambaNya seperti dicampakkan ke dalam api neraka atau dikenakan azab yang kurang daripada itu (api neraka) seperti kepanasan dipadang mahsyar.


Ceritakan tentang mizan (neraca) ?

Kita wajib beriman dengan mizan. Mizan adalah neraca yang berbentuk besar mempunyai lengan yang sama panjang serta dua daun neraca kiri dan kanannya dan diatasnya akan ditimbang amalan-amalan manusia.

Firman Allah Ta’ala:
وَالْوَزْنُ يَوْمَئِذٍ الْحَقُّ"

Maksudnya: "Dan timbangan pada hari itu adalah benar (adil)
(Surah Al-A'raf Ayat 8).

Orang kafir tidak mempunyai amalan-amalan yang baik pada hari kiamat tetapi amalannya yang buruk akan diletakkan pada salah satu daun neraca tersebut. Manakala bagi orang mukmin pula amalan-amalannya yang baik akan ditimbang dengan diletakkan amalan kebaikannya di atas sebelah daun neraca dan sebelahnya lagi diletakkan amalan kejahatan. Jika timbangan amalan kebaikan itu lebih berat dari timbangan amalan kejahatan maka dia akan dimasukan ke dalam syurga tanpa diazab terlebih dahulu.

Manakala jika amalan kejahatannya itu lebih berat dari amalan kebaikan maka mereka di bawah kehendak Allah, samaada akan diampuni dosa mereka lalu dimasukan ke dalam syurga ataupun di azab terlebih dahulu, kemudian barulah mereka dimasukan ke dalam syurga.

Firman Allah Ta’ala:

فَأَمَّا مَنْ ثَقُلَتْ مَوَازِينُهُ فَهُوَ فِى عِيشَةٍ رَّاضِيَةٍ، وَأَمَّا مَنْ خَفَّتْ مَوَازِينُهُ فَأُمُّهُ هَاوِيَةٌ

Maksudnya: "Dan adapun orang–orang yang berat timbangannya (kebaikan)nya, maka dia berada didalam kehidupan yang memuaskan. Dan adapun orang–orang yang ringan timbangannya (kebaikan) maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah". ( Surah Al-Qaria'h Ayat 6-9)

Ceritakan tentang titian sirot ?

Titian sirot adalah jambatan yang berada di atas neraka. Salah satu penghujungnya di bumi yang digantikan (dikenali dengan Al ardhul mubaddalah ) manakala penghujung yang lain pula di syurga. Semua manusia akan melalui jambatan ini. Orang-orang mukmin pada hari itu diantara mereka ada yang akan melalui jambatan tersebut secara terbang di udara, ada diantara mereka yang lalu dengan memijaknya, ada yang jatuh dari jambatan tersebut, dan ada juga yang terselamat, semuanya bergantung kepada amalan masing-masing. Manakala orang-orang kafir pula mereka semua akan jatuh dari titian tersebut, tidak ada seorang pun diantara mereka yang terselamat.

Firman Allah Ta’ala:
وَإِنَّ مِنكُمْ إِلاَّ وَارِدُهَا""

Maksunya:" Dan tidak ada seorang pun dari kamu semua melainkan melalui diatas jurangnya(neraka) (Surah Maryam Ayat 71).

Perlu diketahui disini bahawa laluan di atas neraka itu terbagi kepada dua:

i Sekadar lalu di atasnya tanpa jatuh ke dalam neraka.
ii Lalu di atasnya dan jatuh ke atas neraka.


Ceritakan tentang Al-Haudh ?

Al-Haudh adalah seperti kolam besar yang mana di dalamnya ada minuman yang disediakan oleh Allah ta’ala untuk penghuni-penghuni syurga. Mereka akan meminum airnya sebelum masuk ke dalam syurga dan tidak akan merasa dahaga lagi selepas meminumnya. Setiap nabi-nabi mempunyai haudh masing-masing yang mana airnya akan diminum oleh setiap umatnya.

Sebesar-besar haudh adalah haudh junjungan besar nabi kita Muhammad yang mempunyai gelas-gelas yang banyak seumpama bintang-bintang di langit, airnya dicurah dari syurga.


Ceritakan tentang syafa’at ?

Syafa’at dari segi bahasa bermakna meminta kebaikan dari orang lain untuk orang lain. Syafa’at hanya dikhususkan bagi umat Islam sahaja. Mereka yang boleh memberi syafa’at adalah nabi-nabi, para-para ulama yang beramal dengan ilmunya, para-para syuhada dan juga malaikat-malaikat.


Sabda Rasulullah:
شَفَاعَتِي ِلأَهْل الْكَبَا ئِر مِن أُمَّتِي""

Maknanya: syafa’atku bagi umatku yang melakukan dosa besar.(Diriwayatkan oleh Al-Hakim dan dia mensohihkannya)

Orang-orang kafir pada hari kiamat kelak tidak akan mendapat syafaat.
Firman Allah Ta’ala:

وَلاَ يَشْفَعُونَ إِلاَّ لِمَنِ ارْتَضَى""

Maksudnya: "dan mereka tidak memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai oleh Allah". (Surah Al-Anbiyak Ayat 28)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Perbincangan Agama Islam © 2008 Template by:
SkinCorner